Thursday, December 16, 2010

Warga Emas ditinggal dalam keadaan bogel

Seorang ibu berusia 70 tahun ditemui tinggal bersendirian dalam keadaan menyedihkan di sebuah rumah usang di Kampung Melekek Dalam, dekat sini, dipercayai ditinggalkan anaknya bagi tempoh agak lama.

Warga tua malang ini didapati berbaring di atas sebuah katil daif tanpa dibaluti sebarang pakaian, manakala najisnya dilihat bertaburan di situ, selain keadaan persekitaran berbau busuk dan hancing serta sangat meloyakan. Seorang penduduk, Rahmat Sulong, 60, berkata wanita tua berkenaan yang dikenali sebagai Inap Aji, dibiarkan tinggal seorang diri dan hidup seperti itu oleh anaknya sejak kematian suami beliau beberapa tahun lalu.

"Beginilah keadaannya sepanjang masa dan beliau akan makan, minum dan buang air di tempat sama iaitu di katilnya. Sebab itu tempat ini berbau busuk dan hancing kerana wanita tua ini sudah tidak boleh bergerak lagi kerana terlalu uzur," katanya.

Rahmat berkata, sebagai jiran dan penduduk kampung itu, beliau prihatin dengan nasib wanita tua berkenaan dan berharap satu tindakan segera diambil bagi membantunya supaya tidak terus menderita terbiar di situ dihurung lalat dan bau busuk.

Katanya, wanita itu mempunyai seorang anak perempuan yang sudah berkeluarga dan melawatnya selang beberapa hari dengan membawa makanan.

"Kami sebenarnya sudah bertemu wanita ini dan berbincang berhubung nasib ibunya tetapi tidak mendapat maklum balas positif, malah kami juga pernah mengajukan masalah ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapat bantuan dan ia tetap tidak berhasil.
"Mengikut JKM, wanita tua ini mempunyai pencen sebagai tukang sapu, manakala anak tunggalnya itu bekerja. Disebabkan itu, wanita berkenaan dikatakan tidak dapat dibantu walaupun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sudah berusaha ke arah itu.

"Jadi, sampai bila wanita tua ini terus hidup dalam berkeadaan seperti ini? JKM sepatutnya menghulur bantuan termasuk membawanya ke pusat jagaan sesuai supaya kehidupannya lebih terurus," katanya.

Sementara itu, tinjauan lanjut mendapati bahagian dalam rumah kayu itu dibiarkan tidak berkunci, selain keadaan dalam rumah berselerak, manakala lampu bilik menyala sepanjang masa oleh anak warga tua berkenaan.

1 comment:

  1. Hello tuan, saya telah dikaitkan web yang bagus anda, supaya anda boleh link blog saya?Saya berharap anda tidak keberatan ...
    ini adalah blog saya http://webmarhaen.blogspot.com/

    nasib baik

    ReplyDelete